Drama pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) semakin hangat apabila Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu yang berlangsung hari ini didakwa sah dengan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dikekalkan sebagai presiden.

Dalam laporan terdahulu, FAS menerusi kenyataan media hari ini menegaskan perjumpaan itu tidak diakui oleh persatuan berkenaan.

Menurut FAS, perkara itu selari dengan memo yang diedarkan pihak FAS bertarikh 26 Oktober 2018 terhadap notis yang diberikan Roslin Shariff bertarikh 22 Oktober 2018.

FAS turut menjelaskan satu pertemuan diadakan antara pihak terbabit, pihak FAS dipengerusikan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan disaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Menurut FAS, PJS menyimpulkan ia tidak memenuhi syarat ditetapkan dalam artikel 30 1 (b) status FAS 2010 dan tidak berpatutan.

Difahamkan, EGM yang mahu dilangsungkan itu menuntut rombakan sepenuhnya membabitkan exco, namun ahli gabungan tetap mahukan Tengku Amir Shah kekal menerajui persatuan itu.

Tengku Amir Shah kekal selaku presiden FAS serta dibarisi beberapa muka baru dalam tampuk pimpinan persatuan dan hanya Omar Ali dan Datuk Ariffin Abdul Hamid daripada barisan pimpinan lama kekal bersama FAS.

"Kami mengikut perlembagaan FAS. Selepas ahli gabungan meminta menjalankan kongres, ia perlu dilaksanakan dalam tempoh selepas permohonan itu dilakukan," kata Omar.

"Kami mengekalkan Tengku Amir Shah sebagai presiden FAS hingga 2022. Kami mahu melakukan perubahan dalam bola sepak Selangor," kata Ariffin.

"Objektif kami adalah untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Selangor dan tiada niat lain. EGM dibuat kerana ia telah mengguris sebilangan ahli gabungan yang lain," kata Naib Presiden FAS, Hamdan Hashim.