Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan timbalannya, Datuk Seri Shahril Mokhtar, sah menjadi pemegang amanah FAS dalam Kongres Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung hari ini.

AGM yang pada awalnya ditentang kumpulan 52 ahli gabungan yang pernah mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) tempoh hari tetap berlangsung bagi mengesahkan Tengku Amir dan Shahril selaku pemenang amanah FAS.

Jelas Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, mereka tidak sesekali terjejas dengan rasa tidak puas hati kumpulan berkenaan selain yakin dengan apa yang dilakukan FAS ketika ini tidak melanggar statut sedia ada.

"Tengku Amir dan Shahril kekal memegang jawatan selaku presiden dan timbalan presiden FAS. Buat masa ini, mereka bertanggungjawab menjaga aset persatuan ini," katanya.

AGM berkenaan turut dihadiri 26 ahli gabungan baharu selepas seramai 44 ahli gabungan yang menyokong EGM lalu secara rasmi dipecat apabila FAS tidak menerima respons mereka dalam tempoh satu minggu.

Hanya lapan ahli yang mengemukakan surat tunjuk sebab dan akan diteliti bagi mempertimbangkan kedudukan mereka.

"Kami telah memberikan tempoh untuk mereka memberikan tunjuk sebab kerana menjalankan EGM. Kami tidak menerima maklum balas selepas tujuh hari diberikan oleh kumpulan ini," jelas Dr. Johan.