Erik ten Hag mengesahkan dia akan kekal di Ajax sehingga penghujung musim ini, sekali gus menamatkan spekulasi kepulangannya ke Bayern Munich.

Pengurus berbangsa Belanda itu pernah mengemudi pasukan kedua Bayern dan selepas Niko Kovac meninggalkan pasukan itu semalam, namanya dikaitkan untuk kembali ke pangkuan pasukan gergasi Bundesliga berkenaan.

Bagaimanapun, bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Chelsea dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, pengurus berusia 49 tahun itu menafikan kepulangannya ke skuad Bavaria itu.

Ditanya sama ada dia akan setia dengan majikannya, Ten Hag menjawab: "Saya boleh mengesahkannya. Saya dapat rasakan hubungan yang sangat kuat dengan pasukan saya, dengan semua di Ajax. Saya boleh mengesahkan yang saya akan kekal di Ajax musim ini."

Ten Hag mengakui dia masih menyayangi Bayern, namun dia "bukan seorang pemimpi" dan memilih untuk fokus membantu Ajax dalam mendapatkan keputusan yang positif di Stamford Bridge.

"Bayern pasukan yang amat hebat, saya amat selesa dan gembira ketika bekerja di sana.

"Mereka masih berada di hati saya tetapi saya kini bersama Ajax.

"Saya bukan seorang pemimpi, saya fokus kepada Ajax dan itulah yang paling penting.

"Saya tidak terikat pada masa lalu, fokus saya hanya untuk perlawanan Ajax menentang Chelsea esok," tambahnya.

Ajax, yang mara ke separuh akhir musim lalu, kini terikat enam mata dengan Chelsea di puncak Kumpulan H walaupun mereka tewas kepada skuad The Blues itu di laman sendiri dalam pusingan pertama.

Ten Hag menyedari pemainnya berdepan tugasan mencabar untuk menghadapi wakil Liga Perdana Inggeris itu di laman mereka sambil mengakui skuad bimbingan Frank Lampard itu mampu mara ke pusingan berikutnya.

"Mereka salah satu pasukan pilihan.

"Ia pasti sukar tetapi setiap perlawanan juga akan menjadi sukar.

"Kami percayakan diri kami.

"Kami sedar kami perlu bermain dengan sempurna dan memberikan aksi terbaik.

"Dengan itu, kami akan berpeluang," katanya lagi.