GETAFE 2 AJAX 0

Erik ten Hag mengakui dia mengharapkan lebih daripada Ryan Babel selepas pemain sayap itu melepaskan kekecewaannya ketika Ajax tewas 2-0 kepada Getafe dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.


Pasukan yang melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu itu menurunkan barisan terbaik termasuk Donny van de Beek, Dusan Tadic dan pemain terbaru Chelsea, Hakim Ziyech tetapi sekadar melakukan dua percubaan dan tidak menepati sasaran.

Aksi pertama pusingan 32 terhenti apabila Deyverson kelihatan telah terkena sebuah objek yang dilempar oleh penyokong
pelawat ketika meraikan jaringan pembukaan Getafe.

Dan Kenedy menambah lagi kekecewaan Ajax menerusi percubaan yang berjaya mengatasi penjaga gol, Bruno Varela.



Babel merupakan salah seorang daripada tiga pemain pelawat yang dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Allan Nyom, sebelum meniru reaksi lawannya itu dengan berguling di atas padang.
Ten Hag kemudian mempersoalkan lagak yang ditampilkan Babel, dan pengendali kelahiran Belanda itu mengakui dia harus kekal tenang dalam situasi tersebut.

"Ia bukan tindakan yang bijak. Saya tidak menjangkakannya daripada seorang yang berpengalaman," kata Ten Hag.

"Anda perlu kekal tenang dan menggunakan otak. Anda perlu fokus dan bermain dengan baik."
Babel, bercakap kepada FOX Sports, berkata, "Saya tidak tahu jika akan melakukannya sekali lagi.

"Saya dapat melihat pengadil telah ditipu oleh lawan ketika saat genting dalam perlawanan. Saya telah muak dengan perkara ini.

"Saya berasakan lawan telah banyak berpura-pura, jadi saya telah dilayangkan kad kuning.

"Kami telah bermain dengan baik namun ia tidak mencukupi. Kami perlu menilai semula perlawanan dan memperbaiki persembahan dan membalas kepercayaan penyokong."