Ketua jurulatih Inter, Antonio Conte, berkata kedudukan kedua liga adalah 'yang pertama tewas" selepas The Nerazzurri kehilangan mata di belakang Atalanta dalam Serie A.

Skuad kendalian Conte mempamerkan aksi kurang menyengat apabila terikat seri tanpa jaringan dengan Fiorentina di San Siro awal pagi tadi.

Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez kedua-duanya sekadar menggegar palang gol, yang terlepas peluang untuk melintasi Atalanta ke tangga kedua dengan berbaki tiga perlawanan.

Inter ketinggalan satu mata di belakang Atalanta dan tujuh di belakang pendahulu liga, Juventus ketika mereka semakin menghampir Scudetto yang kesembilan berturut-turut.

"Tempat kedua tiada makna di mata saya. Ia hanya tempat pertama buat pasukan yang kalah," kata Conte.

"Sesetengah pihak yang berpuas hati dengan kedudukan itu, tetapi bukan saya. Saya tidak mahu pemain-pemain sekadar berpuas hati di tempat kedua."



"Ia merupakan perlawanan yang sangat bagus. Kami bermain dengan intensiti yang betul dan banyak melakukan hantaran tetapi tidak bernasib baik apabila dua kali menggegar tiang gol lawan," kata Conte.

"Saya tidak boleh mengeluh apabila pemain-pemain telah mengerah keringat mendapatkan kemenangan. Fiorentina berhak diberikan pujian atas permainan bertahan yang cemerlang.

"Setiap perlawanan adalah ujian buat kami berkembang dengan lebih baik. Saya berasakan pasukan ini telah berusaha sebaik mungkin untuk mengutip mata sebanyak mungkin dan akan melakukannya bagi baki saingan musim ini."

Pemain sasaran Barcelona, Lautaro Martinez, sekadar turun selaku pemain gantian ketika berdepan Fiorentina, dengan Conte memilih Lukaku Sanchez mengetuai jentera serangan.