Pemain tengah Swansea City, Gylfi Sigurdsson, percaya tekanan daripada media memainkan peranan besar dalam kekalahan England di tangan Iceland dalam Euro 2016.

Menggambarkan tahun yang mengejutkan buat skuad Iceland apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir dalam penampilan pertama di Kejohanan Eropah, kemenangan 2-1 ke atas England dalam pusingan 16 menjadi fokus utama.

Sigurdsson berdepan kebanyakan daripada wakil England di pentas Liga Perdana Inggeris dan dia berpendapat tekanan oleh media British memberi kesan terhadap kegagalan skuad Three Lions menyinar di Perancis.

"Layak ke Perancis sudah cukup membanggakan buat Iceland tetapi menewaskan England dalam pusingan 16 adalah satu detik bersejarah.

"Perasaan itu cukup istimewa. Kami sedar selepas mengutip keputusan seri berdepan Portugal bahawa kami mampu melakukan sesuatu dalam kejohanan itu.

"Kami tahu kami mampu tewaskan England selepas aksi berdepan Portugal.

"Kami turun beraksi tanpa sebarang tekanan, namun England berdepan asakan bertubi-tubi daripada media British.

"Jika kamu melihat di peringkat kelayakan, England memenangi 10 perlawanan berturut-turut tetapi apabila kejohanan sebenar bermula, tekanan mula dirasai," tegas Sigurdsson.

Perjalanan penuh magis Iceland terkandas di peringkat suku akhir apabila kecundang 5-2 di tangan tuan rumah, Perancis.

Sigurdsson menambah: "Kami tewas kepada Perancis tetapi kami berdepan pasukan yang beraksi dengan cukup baik pada hari itu.

"Dimitri Payet mempamerkan aksi cukup hebat dan saya berpendapat Perancis tidak bernasib baik kerana tewas dalam final."