Pertahanan sayap RB Leipzig, Angelino, menegaskan bahawa Liverpool pasukan yang lebih tertekan sambil percaya kelab Jerman itu masih mampu memenangi perlawanan timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Liverpool memenangi perlawanan pertama 2-0 di Budapest tiga minggu lalu dan perlawanan timbal balik akan turut berlangsung di ibu kota Hungary itu awal pagi Khamis ini.

Perlawanan pusingan pertama itu berlangsung lebih sengit berbanding keputusannya di mana Mohamed Salah dan Sadio Mane menjaringkan gol pantas pada awal babak kedua.

Dengan kemerosotan pretasi skuad The Reds itu dalam saingan domestik, ia menambahkan lagi keyakinan Leipzig untuk mengubah nasib mereka dalam pertemuan kedua berkenaan.

"Saya boleh katakan yang tekanan mereka lebih tinggi berbanding kami. Kami pasukan bukan pilihan," kata bekas pemain Manchester City, Angelino.

"Jika kami tidak melakukan kesilapan besar dan menyudahkan setiap peluang, kami mampu mengubah situasi ini. Masih ada 90 minit untuk dilalui."

Dia menambah: "Ia sukar selepas perlawanan pertama kerana kami bermain dengan amat baik.

"Kami beberapa kali dapat melepasi pertahanan mereka. Kami perlu memberikan tekanan kepada mereka tetapi kami tidak memanfaatkan peluang kami.

"Kemudian kami memberikan mereka dua peluang dan buat pasukan seperti Liverpool, dengan kualiti yang mereka ada, mereka pasti akan membunuh anda jika anda memberikan mereka sedikit peluang," katanya.

Liverpool tewas enam daripada lapan perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan manakala Leipzig semakin meningkat dalam Bundesliga untuk kini hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Bayern Munich.

Skuad Red Bulls itu telah memenangi lapan daripada sembilan perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan dan satu-satunya kekalahan itu adalah ketika berdepan Liverpool.