Tasnim ambil iktibar teguran Hodak

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2018 331
Tasnim ambil iktibar teguran Hodak
Pertahanan kiri skuad B-19 negara, Ahmad Tasnim Fitri Nasir, mengambil iktibar di sebalik teguran ketua jurulatih, Bojan Hodak, agar dia dan rakan-rakannya memperbaiki komunikasi serta tahap disiplin jika mahu meraih kejayaan dalam aksi penting bertemu Tajikistan dalam saingan peringkat kumpulan Kejohanan AFC B-19, malam esok.

Tasnim antara tonggak yang meraih kepercayaan Hodak yang mengetepikan Nabil Hakim Bokhari dalam pertemuan dengan Arab Saudi, minggu lalu. 

Dia dilihat gugup dengan memberikan banyak ruang untuk penyerang lawan mencelah sebelum skuad negara tewas 1-2.

Dengan harapan masih diberikan peluang yang sama, Tasnim berjanji akan mengatasi kelemahan itu dengan membentuk kombinasi mantap bersama Shivan Pillay Asokan dan Syaiful Alias.

"Kami akan kurangkan kesilapan yang kami lakukan sebelum ini.

"Saya akui kami mengalami masalah komunikasi dan kami akan cuba mengatasinya menjelang perlawanan nanti," katanya.

Jelas pemain Felda United itu, mereka masih memiliki keyakinan dan telah mempamerkan karakter sebenar menuju penghujung perlawanan lalu.

"Selepas dibolosi, kami merubah corak permainan.

"Jaringan daripada Hadi Fayyadh Abdul Razak selepas itu memberikan kami semangat baru dalam menempuh kejohanan ini," tambah Tasnim.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen