Tarik minat Real Madrid, Tuchel jangka Cavani kekal 

Oleh Penulis Jemputan 31 Julai 2018 110
Tarik minat Real Madrid, Tuchel jangka Cavani kekal 
Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menegaskan Edinson Cavani kekal komited bersama pasukan bimbingannya itu walaupun Real Madrid berminat mendapatkan khidmatnya.

Juara Eropah itu dilaporkan berhasrat untuk membawa penyerang Uruguay itu ke Santiago Bernabeu susulan penghijrahan Cristiano Ronaldo ke Juventus.

Bagaimanapun, sebarang usaha untuk menarik penggempur itu keluar dari Parc des Princes tampak sukar kerana Tuchel menegaskan peledak berusia 31 tahun itu berada dalam perancangannya.

"Ini naluri saya dan saya tidak mendengar sebarang perkhabaran dia mahu meninggalkan pasukan," kata Tuchel.

"Dia menjelaskan mahu menyertai kami dalam aksi pra-musim. Cavani adalah pemain utama kami."

Dalam masa sama, Tuchel turut menafikan bahawa PSG telah mencapai kata sepakat untuk membawa masuk pemain tengah Borussia Dortmund, Julian Weigl.

Laporan mengatakan bahawa pemain Jerman berusia 22 tahun itu mahu bersama bekas pengendalinya jika Dortmund melengkapkan perpindahan Axel Witsel dari Tianjin Quanjian.

Weigl dilihat menyinar ketika berada di bawah kendalian Tuchel, melakukan 60 penampilan liga dalam dua musim dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan Jerman.

Bagaimanapun, Tuchel mendedahkan tiada sebarang perjanjian dicapai melibatkan pemain itu walaupun memberi isyarat pintu terbuka mengenai sebarang perbincangan di masa akan datang.

"Weigl bersetuju dengan kami? Tidak, itu tidak benar. Itu apa yang saya tahu," ujar Tuchel.

"Saya harap saya tahu apa yang berlaku! Sudah tentu wujud spekulasi sejak saya hadir ke sini kerana dia bersama saya ketika di Dortmund dan mengharungi tempoh perkembangan serta karier yang bagus.

"Dia adalah seorang pemain yang sentiasa diidamkan oleh kebanyakan pasukan di Eropah. Weigl mampu membantu banyak pasukan tetapi buat masa ini, tiada sebarang perkembangan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen