Penyerang RB Leipzig, Timo Werner, tidak mahu melayan sebarang khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan ke Bayern Munich kerana mahu fokus kepada aksi bersama Jerman dalam Piala Dunia.

Werner dilaporkan menjadi sasaran juara Bundesliga itu selepas mereka berkemungkinan kehilangan khidmat penyerang utama, Robert Lewandowski, bagi saingan musim depan.

Ejen Lewandowski, Pini Zahavi, mendedahkan bahawa pemain Poland itu mahukan cabaran baru, yang menguatkan lagi perpindahan keluar buat penyerang itu sambil Juventus, Manchester United, Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid menjadi antara pasukan yang berminat dengan khidmatnya.

Werner, yang menyumbat 34 gol dalam dua musim bersama Leipzig, turut dikaitkan dengan perpindahan ke United dan dia memberitahu Welt sebelum ini bahawa dirinya perlu meninggalkan pasukannya untuk melangkah ke tahap lebih tinggi dalam karier dan bergelar penyerang berkelas dunia.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu berpendapat segala komennya terhadap masa depan akan disalah anggap, jadi dia mahu meletakkan fokus sepenuhnya bersama Jerman terlebih dahulu.

"Tidak kira apa yang saya katakan, keesokan harinya akan wujud laporan sama ada saya akan ke Bayern atau tidak mahu meninggalkan Leipzig," katanya.

"Saya fokus kepada Piala Dunia. Segala perkara yang tidak berkaitan atau tentang masa depan bukan menjadi topik utama buat saya ketika ini.

"Bukan saya sahaja yang membaca spekulasi itu tetapi ia berbeza untuk memikirkannya ketika ini. Mungkin selepas Piala Dunia, anda boleh kembali bertanya."