Ketua jurulatih belia Kelantan, Tengku Hazman Raja Hassan, menyifatkan pasukannya menolak tuah apabila gagal menyudahkan empat peluang terbaik menjaringkan gol ketika kalah 1-0 kepada Selangor dalam saingan separuh akhir pertama Piala Belia di Stadium Sultan Mohammed IV, kelmarin.

“Nasib tidak menyebelahi kami dan terpaksa terima hakikat kalah di gelanggang sendiri apabila gagal menyudahkan empat peluang keemasan di depan gawang Selangor.

“Lebih daripada itu, kesilapan mudah pertahanan pula menghukum kami. Kami berjanji akan bangkit semula dalam saingan separuh akhir kedua di Shah Alam, minggu depan” katanya mengenai perlawanan bawah 19 tahun itu.

Tengku Hazman yang juga bekas tonggak kebangsaan, bagaimanapun, tetap berpuas hati dengan persembahan yanak buahnya biarpun beraksi tanpa pemain utama dalam aksi sengit menentang Selangor.

“Kami beraksi tanpa tiga pemain utama, dua digantung akibat kad merah (Mohd Aniq Aramid dan Ahmad Nazri) dan seorang lagi mengalami kecederaan serius semasa beraksi dalam suku akhir kedua menentang Sabah," tambahnya.

Ditanya mengenai kekalahan di gelanggang sendiri boleh mematahkan semangat pemain, Tengku Hazman menafikan dan sebaliknya berjanji pemain Kelantan akan bangkit lebih kuat untuk memburu kemenangan di Shah Alam, sekali gus menempah tiket ke final Piala Belia, musim ini.

“Kekalahan ini menjadikan pemain Kelantan lebih bersemangat beraksi dalam separuh akhir kedua di tempat lawan. Kami akan cuba mencari gol awal dan benteng pertahanan diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menghancurkan harapan Kelantan ke final."

Dalam saingan sengit petang kelmarin, The Young Warriors dikejutkan dengan jaringan kemenangan Selangor melalui sepakan lambung cantik Mohd Fazrul Fahriz Zeky yang memerangkap penjaga gol Kelantan, Mohd Fikri Che Soh, pada minit kelapan.

Kelantan cuba bangkit mencari gol penyamaan, malangnya segala gerakan yang dilancarkan gagal menewaskan penjaga gol Selangor, Muhammad Aqil Fadhly Mohd Yusop.