ARGENTINA 2 MEXICO 0

Argentina menewaskan Mexico 2-0 menerusi tandukan Ramiro Mori dan gol sendiri Isaac Brizuela dalam aksi persahabatan di Cordoba, sebentar tadi.


Mexico berpeluang meraih jaringan awal, namun tandukan Raul Jiminez pada minit kedua sekadar singgah di palang lawan.

Tidak lama selepas itu, kesilapan Mori hampir mengundang padah buat Argentina, namun lorongan daripada Alan Pulido gagal disudahkan dengan sempurna oleh Fabian.

Selepas terselamat daripada dua ancaman awal itu, Argentina mula mengawal permainan dan memberikan ancaman menerusi Paolo Dybala dan Lautaro Martinez.

Serangan balas melalui Jiminez selepas itu turut gagal melepasi tembok pertahanan Mexico dengan terjahan daripada Leandro Parades berjaya menyelamatkan keadaan.

Tekanan meningkat selepas itu dengan Guillermo Ochoa menyelamatkan tandukan rendah Martinez susulan sepakan percuma Dybala pada minit ke-38.

Dybala sekali lagi bertanggungjawab mengambil sepakan percuma yang kemudian ditanduk masuk Mori bagi memastikan jaringan pembukaan tuan rumah sebelum tamat separuh masa pertama.

Pemain gantian Mexico, Brizuela, terjaring bola ke gawang sendiri pada minit ke-83 selepas cuba menafikan usaha Mauro Icardi memburu jaringan pertama peringkat senior yang memastikan kemenangan 2-0 Argentina ke atas skuad El Tri itu.