Demi kerancakan bola sepak tempatan, Liga Amatur Terengganu (TAL) dan Liga Juara-Juara Selangor (SCL) mengambil inisiatif untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan penglibatan di peringkat liga komuniti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TAL, Muhammad Zainudin Solahudin, kolaborasi itu disifatkan sebagai penanda aras peningkatan bola sepak amatur yang semakin berkembang di negara ini.

Malah, penerimaan positif daripada komuniti setempat membuktikan kelab-kelab amatur menyediakan peluang kepada pemain-pemain terlibat sebagai langkah pertama dalam karier bola sepak mereka.

“TAL dan SCL berkongsi misi yang sama, iaitu mempromosikan liga amatur ke peringkat lebih tinggi.

“Usahasama ini juga akan memberi peluang cerah kepada pemain-pemain untuk berjaya sehingga direkrut pasukan profesional,” katanya.

Selain itu, hubungan dua hala itu membolehkan perkongsian kepakaran serta maklumat, sekaligus mencorakkan lanskap bola sepak amatur ke arah lebih berkesan.

Masa depan liga komuniti turut dilihat berpotensi sekiranya diurus tadbir dengan baik selain memberi lebih banyak akses kepada masyarakat untuk memberi sumbangan.

“Kami berharap inisiatif ini dapat menghubung dan meningkatkan jumlah pengikut, khususnya di Selangor dan Terengganu.

“Penganjuran SCL serta TAL seharusnya menjadi permulaan kepada negeri lain untuk mengadakan liga komuniti mereka dan seterusnya menjadi agenda utama seluruh negara,” ujar Ketua Pegawai Operasi Komuniti Belia Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon.