Nasib berbeza dialami dua pasukan pilihan, Real Chukai dan Majlis Daerah Besut (MDB), di peringkat suku akhir Piala Amatur Terengganu (TAL), kelmarin.

Juara bertahan, Real Chukai, berputih mata apabila tumpas 0-4 kepada BTK FC menerusi jaringan Ibrahim Mat Said pada minit ke-23, Muhammad Zulkifli Yusoff (m-26), Shaiful Rahimi Muda (m-63) dan Badrul Hisyam Awang (m-82).

Wan Mohd Syahid Azrai pula muncul wira MDB dengan gol tunggal seminit sebelum tamat dan mengatasi Akademi Terengganu (ATFC) untuk MDB meneruskan kemaraan.

Menanti MDB di peringkat separuh akhir ialah Markless ST yang menewaskan Island FC 2-0 hasil jaringan Aiman Amran pada minit keempat serta Mohammad Rozaimi (m-88).

Satu lagi perlawanan menyaksikan CND FC mengatasi Dspex FC dengan jaringan sama, sekali gus membuat perhitungan dengan BTK FC, hujung minggu ini.

"Aksi lebih sengit dijangka ditampilkan empat pasukan dalam separuh akhir nanti dengan masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Ramai muka baru yang menonjol dan kami berharap mereka terus mengembangkan bakat mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif TAL, Muhammad Zainudin Solahudin.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)