Jaringan penalti Mulihuddin Atiq pada minit ke-90 yang menyelamatkan juara bertahan, Real Chukai FC, daripada kekalahan kepada Majlis Daerah Besut (MDB), adalah antara aksi tumpuan minggu kedua Liga Amatur Terengganu (TAL).

Keputusan seri 3-3 menyaksikan Real Chukai turun ke tangga kedua dengan mengumpul empat mata dengan FC Pemanis menjadi pendahulu liga selepas mengatasi Gemuda FC, 2-1, yang juga kemenangan kedua mereka.

Turut mencatat kemenangan, Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket yang menumbangkan pasukan tercorot, Ayahanda FC, 5-2 untuk berada di kedudukan ketiga.

Tempat keempat Liga Super TAL diisi Island FC yang terikat tanpa jaringan dengan CND FC manakala satu lagi perlawanan berkeputusan BTK FC menewaskan Kebilal FC 2-0.

Sementara itu dalam saingan Liga Perdana, Akademi Terengganu FC (ATFC) unggul di kedudukan teratas mengecewakan TDTD FC 3-0.

Dspex FC terus menghangatkan kelompok atasan setelah menang tipis 1-0 ke atas Raja Permin serta Markless ST yang mengalahkan MyXini FC juga dengan keputusan 1-0 untuk mengisi tiga tempat teratas.

Pasukan tangga keempat, Delima Warriors, masih mengekalkan posisinya melalui kelebihan gol walaupun tumpas 1-2 kepada Real Grebar FC manakala Sixma ABZ FC tewas 0-1 kepada TFFC.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)