Hasrat pendahulu Liga Amatur Terengganu (TAL), FC Pemanis, meraih kemenangan ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada CND FC, sekali gus jatuh ke kedudukan keempat liga.

Dua jaringan Muhammad Mustaqim pada minit ketujuh dan 65 memberi kelebihan kepada CND FC manakala gol sagu hati Muhammad Saifullah pada minit ke-78 gagal menghadirkan kebangkitan FC Pemanis.

Memasuki minggu ketiga, giliran Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket melonjak ke tangga teratas dengan tujuh mata setelah menang 2-0 ke atas Kebilal FC.

Turut berkongsi tujuh mata ialah Island FC serta BTK FC, namun dibezakan perbezaan gol untuk berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Island FC mengejutkan juara bertahan, Real Chukai, 2-0 manakala BTK FC menang 4-2 ke atas Gemuda FC dalam aksi menghiburkan.

Sementara itu, saingan Liga Perdana menyaksikan Akademi Terengganu FC (ATFC) dan DSPEX FC mengumpul sembilan mata apabila mengatasi lawan masing-masing.

ATFC mengecewakan Sixma FC 1-0 sambil DSPEX FC meraih kemenangan 2-0 mengatasi Markless ST.

Keputusan-keputusan lain, Real Grebar FC menumpaskan TDTD FC 3-0, Delima Warriors kalah tipis 0-1 kepada MyXini FC manakala perlawanan menemukan Raja Permin dan TFFC United berkesudahan seri 1-1.

Kredit foto: FC Pemanis