Romelu Lukaku mendapati taktikal menyerang yang diterapkan pengendali Belgium, Roberto Martinez, sebagai 'menyeronokkan' selepas berjaya meledak dua gol dalam kemenangan besar 8-1 ke atas Estonia pada Ahad.

Skuad kendalian Martinez telah memaparkan aksi cukup sempurna dalam saingan Kumpulan H setakat ini dengan kemenangan ke atas Estonia meletakkan mereka selesa di persada dengan 12 mata.

Lukaku jelas gembira dengan sumbangannya yang turut melihat pemain sayap, Dries Mertens, menyumbang dua gol.

Bercakap kepada VRT selepas perlawanan itu, Lukaku nyata tidak dapat membendung rasa gembiranya dengan kemenangan besar tersebut.

"Sekali lagi, berapakah keputusan perlawanan? 8-1?,"

"Pasukan ini sedang bermain dengan baik, dan kami teruja dengan corak serangan ini.

"Kami sering sahaja menguasai hantaran di samping sering kali menguji gawang pihak lawan.

"Kami perlu meneruskan momentum sedia ada ini dalam perlawanan seterusnya."