Ketua jurulatih T-Team, Mohd Nafuzi Zain, jelas gembira dengan prestasi pemain muda yang beraksi mengikut perancangannya sehingga mampu mengikat juara bertahan, Kelantan, 1-1 dalam pusingan pertama final Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

“Secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi pemain-pemain saya. Biarpun kali pertama ke pentas final, kami mampu beraksi baik di hadapan penyokong lawan. Tahniah juga kepada pemain Kelantan yang memberikan cabaran yang sengit.

“Bermain di padang yang becak bukannya senang. Namun, apa yang kami rancang, pemain memberikan aksi yang terbaik dan Alhamdulillah kami mendapat keputusan positif malam ini (kelmarin),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Mohd Nafuzi yang juga bekas ketua jurulatih Kelantan, yang menjuang kejuaraan musim lepas, menyifatkan ketenangan anak buahnya teruji apabila tuan rumah berjaya menjaringkan gol pembukaan.

“Kami bermula cukup baik. Pemain beraksi mengikut perancangan yang diatur. Cuma, gol pembukaan yang dijaringkan Daniel (Mohd Danial Ashraf Abdullah) membuatkan kami lebih bersedia untuk bertahan dan melancarkan serangan.

“Pemain saya tidak panik dan mula menyusun serangan untuk mencari gol penyamaan. Alhamdulillah, kami berjaya melalui gerakan cantik yang disudahkan oleh Engku (Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob),” katanya.

Mohd Nafuzi menolak sebarang kelebihan yang ada pada T-Team, sebaliknya menuntut pemain berusaha lebih gigih untuk memburu kejuaraan di tempat sendiri.

“Seri satu sama bukan kelebihan dalam format timbal balik. Kami boleh jaringkan gol di sini kenapa pulak Kelantan tak boleh di Terengganu?

"Jika Kelantan mendapat jaringan, sudah tentu tekanan yang tinggi buat kami kerana beraksi di tempat sendiri. Bagi saya, kami perlu lupakan keputusan di sini dahulu dan memulakan perlawanan baru untuk mencari kejuaraan,” katanya.

Dalam aksi sengit malam kelmarin, The President Warriors berjaya mendahului melalui sepakan percuma cantik yang diambil oleh penyerang sensasinya, Mohd Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-55, menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi.

Kebihan satu gol pantas dipadamkan pemain tengah T-Team, Engku Muhd Shakir Engku Yakob, yang menanduk cantik bola, memerangkap penjaga gol kebangsaan bawah 22, Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-64.

T-Team hampir membawa bekalan selesa ke gelanggang sendiri minggu depan apabila penyerang simpanan, Mohamad Raimi Syahir Mohamad, gagal menolak masuk ke gawang terbuka apabila penjaga gol Kelantan, Ahmad Syihan, terkeluar daripada posisinya.