Penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny, menandatangani kontrak baru dengan juara Serie A itu sehingga 2024.

Pemain kebangsaan Poland itu mula menempa nama sebagai penjaga gol utama pasukan gergasi Turin itu selepas Gianluigi Buffon menyertai Paris Saint-Gemain (PSG) menjelang musim 2018-19.

Juve mengumumkan semalam bahawa Szczesny, yang ditandatangani daripada Arsenal pada Julai 2017 selepas menghabiskan tempoh pinjaman dua musim di AS Roma, bersetuju untuk kekal bersama pasukan Serie A itu.

Pemain berusia 29 tahun berkenaan telah melakukan 84 penampilan bersama juara bertahan itu dan pernah memenangi Scudetto sebanyak dua kali selain satu kejuaraan dalam Coppa Italia dan Piala Super Itali.

Musim ini, Szczesny menjadi pilihan utama pengurus, Maurizio Sarri, yang memaksa Buffon menjadi pilihan kedua selepas legenda Itali itu kembali menyertai kelab berkenaan tahun lalu.

Dia berkata: "Ini adalah bukti kepercayaan yang diberikan kelab ini kepada saya.

"Saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada Juve sepanjang beberapa tahun yang akan datang."

Tambahnya: "Saya akan berada di sini hingga 2024 dan mahu memenangi segala-galanya.

"Ia adalah objektif kelab dan pemain kami.

"Kami perlu berusaha, berlari dan berkorban untuk mencapai objektif itu, iaitu memenangi lebih trofi dan gelaran," katanya.

Selepas 23 perlawanan Serie A, Juve berada di tangga kedua dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan di belakang pendahulu, Inter Milan.



Editor: Muzaffar Musa