Saad Ichalelene mengetuai pelantikan empat individu untuk menyertai struktur kejurulatihan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dengan kontrak selama tiga tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini mengumumkan rombakan membabitkan program bola sepak termahal di Malaysia itu selepas kontrak Lim Teong Kim selaku pengarah NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), yang sebelum ini menimbulkan kontroversi berikutan gaji tinggi sebanyak RM175,000 sebulan yang diterimanya, berakhir 31 Oktober lalu.

Dua lagi individu tempatan turut dilantik dengan jumlah gaji keempat-empat individu berkenaan membabitkan kos yang lebih murah.

"Yang pertama, Saad Ichalelene dilantik sebagai pengarah teknikal NFDP bermula 1 Disember 2019.

"Selain itu, Jawatankuasa Pemandu NFDP turut melantik Dennis Bekking sebagai pengarah AMD, Abdifitaah Mohd Hassan sebagai pengarah pencarian bakat metodologi kejurulatihan dan Aminuddin Hussin sebagai ketua pembangunan remaja," katanya di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sementara itu, Syed Saddiq turut menyuarakan kebimbangan mengenai pengangkutan dan penginapan membabitkan atlet yang menyertai Sukan SEA Filipina.

Namun, ia masih terkawal memandangkan atlet akan melakukan perjalanan menjelang upacara pembukaannya Sabtu ini.