Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, masih belum berkesempatan meneliti cadangan meletakkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di bawah pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Jawatankuasa Pemantau Khas NFDP kelmarin menegaskan skuad B-16 negara diletakkan di bawah Bahagian Pengurusan Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN) sementara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk menyalurkan kepakaran teknikal bagi memastikan pembangunan bola sepak negara dapat diteruskan.

Tetapi, buat masa ini, Syed Saddiq masih belum dapat memberikan kata putus.

"Saya memerlukan maklumat yang penuh sebelum membuat sebarang keputusan, mohon bersabar terlebih dahulu," katanya.

Syed Saddiq kini memberikan tumpuan kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di bawah MSN bagi atlet yang mengharumkan negara dalam kejohanan antarabangsa melibatkan atlet normal dan para.

"Keutamaan KBS adalah memastikan kebajikan atlet. Kami berusaha untuk memastikan setiap atlet diberikan layanan yang sama rata daripada segi wang hadiah. Apa yang dapat dilihat di atas kejayaan kontinjen Malaysia dalam Sukan Para Asia, atlet negara sememangnya luar biasa," katanya.