Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, masih belum ada kata putus berhubung isu Lim Teong Kim dan memilih untuk bertemu bekas jurulatih skuad B-16 negara itu terlebih dahulu esok.

Tiada sebarang pelan khusus yang dikongsikan Syed Saddiq apakah isu utama yang akan dibincangkan dalam pertemuan yang akan berlangsung sebelum satu sesi "town hall" Pelan Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Sama ada ia melibatkan status Teong Kim atau perancangan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke atas jurulatih berpengalaman itu, Syed Saddiq lebih memilih sikap tunggu dan lihat.

"Kami mahu mencari titik pertemuan bagi untuk program NFDP ini dan usaha untuk memperkasakannya," kata Syed Saddiq.

Berhubung jumlah gaji Teong Kim sebanyak RM175,000 sebulan yang pernah dipersoalkan Syed Saddiq sebelum ini, perincian hal itu juga tidak dinyatakan dengan jelas apa pendirian KBS ketika ini.

"Kami dalam proses mendapatkan penajaan yang baru bagi memastikan saluran dana terhadap MSN dapat diteruskan bagi bola sepak negara berkembang dengan baik," katanya.