Pertahanan negara, Syazwan Andik, sedia untuk mengekang pergerakan pemain lincah Thailand, Nurul Sriyankem, bagi mengejar misi meraih bekalan selesa dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Syazwan, yang mesra dengan panggilan Pello, berdepan tugas berat untuk perlawanan menentang Thailand esok kerana pertahanan berusia 22 tahun itu perlu mengawasi kelibat Nurul yang dianggap pemain paling lincah skuad Gajah Putih itu dalam kempen kali ini.

Nurul, pemain kelahiran Patthalung, dilihat cukup menyerlah dalam beberapa aksi peringkat kumpulan apabila kerap melakukan ancaman menerusi larian pantas dan menjadi pencetus jaringan.

"Persiapan dalam keadaan baik. Semua pemain bekerja keras dan saya sendiri harus meningkatkan prestasi," ujarnya.

Namun, Syazwan sedar tugas yang digalas bukan sahaja mengekang asakan lawan, malah perlu membantu rakannya, Safawi Rasid, menjana serangan di bahagian kiri skuad negara dalam pertemuan itu nanti.

"Ia permainan yang berbeza. Dalam skuad kebangsaan, pemain yang ada lebih berpengalaman."