Di sebalik kekalahan 0-2 skuad bola sepak negara di tangan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia, Selasa lalu, Syamer Kutty Abba yang tampil kali pertama dengan barisan senior mempamerkan aksi yang memukau.

Pemain skuad B-22 kebangsaan itu tampak berupaya menyesuaikan diri untuk beraksi buat pasukan kebangsaan di peringkat senior dan kelihatan tenang mengemudi barisan tengah bersama Baddrol Bakhtiar dan Kiko Insa.

Bagi Syamer, aksi meyakinkan dalam penampilan sulung bersama skuad senior menjadi suntikan motivasi yang penting buat masa depan kariernya.

"Saya bersyukur dapat memberikan komitmen 100% dan kini segalanya terserah kepada jurulatih untuk membuat keputusan. Apa yang penting, saya dapat mempelajari sesuatu kerana ini adalah skuad senior, berbeza dengan pasukan B-22," kata Syamer.

Syamer bertekad untuk terus berjuang bersama skuad negara dalam saingan kelayakan Piala Asia walaupun peluang untuk mara ke pusingan akhir kini tampak sukar.

Sementara itu, penyerang Hong Kong, Jorge Tarres Paramo, mengakui bukan mudah berdepan Malaysia sambil menyifatkan layangan kad merah kepada Safiq Rahim nyata membantu mereka untuk menguasai perlawanan.

"Saya pernah beraksi menentang Malaysia beberapa kali dan ia bukan tugas mudah kerana mereka memiliki pemain-pemain yang berkualiti serta pantas.

"Sebelum insiden kad merah itu, kami dapat mencipta peluang tetapi ternyata selepas kad merah dilayangkan kepada lawan, kelebihan bermain dengan 11 orang pemain memberikan kelebihan buat kami untuk terus melancarkan asakan dan segalanya menjadi lebih mudah," ujar Jorge Tarres.