Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Syahmi Safari, semakin selesa untuk terus mengemudi posisi bek kanan selepas diberi kepercayaan dalam tiga aksi berturut-turut saingan Piala Suzuki AFF 2018 setakat ini.

Syahmi selesa dengan percaturan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, setakat ini dengan peranan utama telah diberikan kepadanya sejak perlawanan pertama menentang Kemboja.

Namun, itu tidak bermakna dia puas dengan apa yang telah ditampilkan, sebaliknya peningkatan ketara harus ada untuk beraksi dalam perlawanan getir berdepan Myanmar yang menjadi penentuan ke separuh akhir.

Cheng Hoe juga pastinya tidak akan teragak-agak untuk melakukan perubahan di posisi itu andai tiada kesungguhan ditampilkannya dalam latihan.

"Rasanya ia satu penghargaan untuk diri saya sendiri kerana jurulatih memberi kepercayaan. Saya perlu tingkatkan lagi prestasi dan memberikan aksi lebih baik buat pasukan.

"Setakat ini, saya selesa dengan percaturan jurulatih. Sebelum ini, saya pernah beraksi di posisi tersebut ketika bersama skuad B-23 negara. Jadi, ia tetap sama," ujar Syahmi.

Pemain berusia 20 tahun itu yang julung kali beraksi di pentas Piala AFF turut menghargai komitmen daripada pemain-pemain senior dalam memberikan tunjuk ajar tanpa meletakkan sebarang jurang antara satu sama lain demi kekuatan pasukan.

"Gabungan yang baik boleh dilihat. Pemain muda dilayan seperti rakan yang sebenar. Apabila ada kesilapan, tonggak senior akan memberi tunjuk ajar. Ia satu pengalaman," tambahnya.