Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Syahmi Safari, mengidamkan untuk menjadikan platform Piala Suzuki AFF 2018 sebagai medan bagi mengukuhkan kredibilitinya sebagai bek kanan yang ampuh buat Harimau Malaya.

Sewaktu menentang Laos, Isnin lalu, Syahmi diberikan peluang oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe, untuk mengisi kesebelasan utama dan beraksi di posisi pertahanan.

Lebih membanggakan, penampilan pertamanya di pentas Piala AFF menyaksikannya berjaya menjadi penyumbang kepada gol penyamaan Harimau Malaya menerusi hantaran silang yang disempurnakan Zaquan Adha Abdul Radzak.

Ia membangkitkan lagi semangat anak muda berusia 20 tahun itu untuk cuba mengekalkan kedudukannya dalam pasukan meskipun terpaksa bersaing dengan Amirul Azhan Aznan di posisi bek kanan.

"Saya rasa ia satu persaingan yang sihat. Ia terpulang kepada jurulatih dan kami sebagai pemain hanya perlu memberikan yang terbaik sewaktu latihan.

"Siapapun yang bermain, kami akan cuba menampilkan aksi terbaik," katanya.

Selain berada di barisan benteng, Syahmi juga mampu beroperasi sebagai pemain tengah serta di bahagian sayap.

Menjelang pertemuan dengan Vietnam, Jumaat ini, dia berharap Harimau Malaya mampu mengutip tiga mata, sekali gus menjamin slot ke separuh akhir.

"Sebelum ini juga, saya pernah bermain dengan Vietnam bagi saingan B-23 serta B-19. Itu semua dapat membantu kami dalam membaca corak permainan mereka," ujarnya.