Bekas pemain Harimau Muda dan Felda United, Syahid Zaidon, menganggap kariernya sebagai pemain bola sepak sudah berakhir ketika impiannya untuk mewakili skuad senior negara tidak pernah kesampaian.

Keputusan untuk bersara itu dilakukannya pada usia 30 tahun dan akan membuka lembaran baru dalam hidupnya sebagai tenaga kejurulatihan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena hari ini, dia berkata: "Sejak tahun lalu, Saya sudah ditawarkan untuk menjadi jurulatih skuad B-14 Akademi Felda United.

"Jadi, ia merupakan titik permulaan untuk saya menggantungkan but.

"Sebenarnya, sebagai pemain, sudah pasti kita mempunyai satu matlamat, iaitu untuk mewakili negara. Itulah peringkat paling tinggi.

"Tetapi mungkin ia bukan rezeki saya untuk mencapai sasaran itu.

"Apabila sudah berusia 30 tahun seperti ini, mungkin sudah terlalu lewat untuk saya mencapai sasaran itu.

"Dengan melihat pemain muda sekarang ini juga bagus-bagus, saya fikir sudah cukuplah untuk saya menjadi pemain profesional," katanya.