Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad, hampir pasti membawa haluan baru musim depan dengan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mengikut jejak beberapa rakannya daripada skuad Sukan SEA.

Syafiq muncul pemain terbaru yang mungkin menyertai skuad Harimau Selatan itu selepas Adib Zainudin dari Felcra FC dan Adam Nor Azlin dari Selangor.

Ia susulan tersebarnya sekeping gambar memaparkan penyerang skuad bawah 22 tahun negara itu bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan duta antarabangsa kelab itu, Luciano Figueroa.



Syafiq ketika ditemui Nadi Arena selepas perlawanan Kedah menentang Felda United di Jengka, kelmarin, tidak menafikan perkhabaran itu, bagaimanapun, terlebih dahulu mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap misi membantu Lang Merah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

"Bagi saya, kami akan fokus untuk perlawanan akan datang sebab kami masih lagi menyasarkan kepada Piala Malaysia. Kalau layak ke final, ia adalah kemaraan ketiga berturut-turut.

"Jadi, kami mahukan piala itu sekali lagi. Kalau ada hal-hal lain, kami tinggalkan di tepi dahulu. Saya fokus di tempat saya bermain sekarang," katanya.

Selain Syafiq, Adib dan Adam, turut dikaitkan menyertai JDT ialah dua pemain muda Pulau Pinang, S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba serta pertahanan Pahang, Matthew Davies.

Mereka semua merupakan tonggak skuad muda negara yang meraih pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.