Bekas tonggak Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki, disahkan akan menyarung jersi Terengganu FC (TFC) II dalam Liga Perdana musim depan.

Pemain kelahiran Brazil yang mendapat kerakyatan Jepun itu menandatangani kontrak bersama TFC II, hari ini, disaksikan pengurus pasukan, Jasmira Othman, dan jurulatih, Mustaffa Kamal Abdul Wahab.

Suzuki, 27, ketika ditemui berkata dia mahu meneruskan rentak cemerlang yang dipamerkannya bersama Negeri Sembilan dengan membantu TFC II muncul antara pasukan terbaik pada 2018.

Kehadirannya ke TFC II juga disifatkannya bukan sekadar pelengkap, sebaliknya mahu membentuk gandingan mantap bersama penyerang, Akanni-Sunday Wasiu.

“Saya menjaringkan 12 gol dalam saingan liga musim lalu dan yakin mampu melakukan lebih baik lagi, seterusnya muncul juara liga “ ujarnya.

Sementara itu, Jasmira turut mengesahkan TFC II akan mengambil empat pemain import berbanding hanya dua pada awal perancangan pasukan itu.

Katanya, keputusan itu dibuat pihak pengurusan bagi memastikan keseimbangan kekuatan pasukan selain memberi saingan kepada pencabar lain.

“Selepas Akanni-Sunday dan Bruno, dua lagi awang import dari Haiti akan hadir penghujung bulan ini untuk memperkemaskan skuad TFC II,” katanya.