Ronald Koeman dapat menyelami kekecewaan Lionel Messi selepas bintang Barca itu dilayangkan kad merah ketika tewas kepada Athletic Bilbao dalam final Supercopa de Espana awal pagi tadi.

Messi dilayangkan kad merah buat kali pertama sepanjang karier kelabnya ketika pasukan gergasi LaLiga itu tewas 2-3 kepada Athletic dalam masa tambahan di Seville.

Selepas bintang Bilbao, Inaki Williams, menjaringkan gol ketiga pasukannya dalam masa tambahan, Messi dikesan memukul Asier Villalibre dalam satu insiden tanpa bola yang dikesan pengadil, Jesus Gil Manzano, menerusi video bantuan pengadil (VAR) sebelum dilayangkan kad merah.

Messi -- yang dikaitkan untuk meninggalkan Camp Nou untuk menyertai Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) -- akan berdepan penggantungan permainan tetapi ketua jurulatih Barca, Koeman, mempertahankan pemain berusia 33 tahun itu.

"Saya boleh faham mengapa Messi melakukannya," kata Koeman selepas perlawanan itu.

"Saya tidak tahu berapa banyak mereka mengasarinya dan ia sesuatu yang normal untuk dia memberikan reaksi selepas mereka sentiasa mencuba untuk mengasari anda sebagai pemain yang sentiasa mahu menggelecek dengan bola tetapi saya perlu melihatnya semula dengan teliti," katanya.

Messi, yang dikasari sebanyak lapan kali ketika berdepan Bilbao, baru sahaja pulih daripada kecederaan ringan untuk kembali disenaraikan dalam penampilannya yang ke-753 bersama kelab Catalan itu.

"Leo, selepas beberapa tahun dalam bola sepak elit, amat menyedari sama ada dia berada dalam kondisi terbaik atau tidak.

"Kami sudah berbicang sebelum ini, dia katakan yang dia berada dalam kondisi terbaik untuk beraksi, dia sudah memberikan semaksimum mungkin dan tiada isu lain," katanya lagi.