Sunderland memecat pengurus, Simon Grayson, selepas seri 3-3 menentang Bolton Wanderers dalam Liga Kejuaraan di Stadium of Light, awal pagi tadi.

Keputusan itu melanjutkan kemarau kemenangan di laman sendiri bagi skuad Black Cats sejak 17 Disember tahun lalu, malah mereka hanya meraih satu kemenangan daripada 15 perlawanan Liga Kejuaraan musim ini, membawa mereka ke zon penyingkiran.

Grayson dilantik pada Jun lalu dan dijangka menstabilkan kelab yang terpaksa turun daripada Liga Perdana dengan hanya menghimpun 24 mata.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman web kelab selepas aksi menentang skuad tercorot itu, Ketua Eksekutif, Martin Bain, berkata: "Simon (Grayson) dan pasukannya telah bekerja keras untuk mencapai tahap terbaik untuk kelab ketika tempohnya di sini.

"Walaupun kami berharap pengalaman Simon dalam liga bola sepak akan membantu kami ke arah kejayaan, keputusan-keputusan itu tidak cukup baik untuk kelab ini.

"Bagi memperbaiki kedudukan semasa kami, kami percaya perubahan asas diperlukan," katanya.