Penyerang skuad negara, Safawi Rasid, tetap tidak dapat menyembunyikan kekecewaan susulan kekalahan 1-4 di tangan Iraq walaupun muncul selaku pemain pertama Malaysia yang meraih jaringan di pentas Kejohanan AFC B-23.

Safawi, yang memulakan aksi bersama Jafri Firdaus Chew dan N. Thanabalan, meledakkan jaringan pada minit ke-79 selepas menerima hantaran daripada pemain gantian, Akhyar Rashid, sekaligus mencatat rekod baru.

"Saya bersyukur dapat menjaringkan gol pada hari ini. Bagi saya, jaringan itu adalah catatan yang baik di peringkat tertinggi.

"Mungkin kekalahan ini akan membuatkan kami bekerja lebih keras dan membuat persiapan lebih rapi untuk bertemu Jordan selepas ini," katanya.

Dalam masa sama, Safawi tidak berasakan aksi pemain-pemain negara terjejas kerana beraksi dalam cuaca sejuk walaupun suhu mencecah sehingga 4 darjah Celcius.