Pemain naturalisasi negara, Mohammadou Sumareh, menafikan ada perasaan iri hati terhadap Liridon Krasniqi, yang dipilih sebagai pemain naturalisasi kedua negara.

Baginya, kehadiran pemain tengah Johor Darul Ta,zim itu ibarat rakan kongsi barunya di atas padang.

Dia juga tidak sabar untuk bergandingan dengan Krasniqi menjelang perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, November depan.

Dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, penyerang Pahang itu berkata: "Kini kita sudah memiliki pemain naturalisasi kedua, bukan hanya Sumareh.

"Amat baik untuk memiliki seorang lagi pemain (dengan status) seperti saya.

"Kita semua tahu kualiti yang dimilikinya.

"Dia amat bagus ketika memiliki bola dan dapat melakukan hantaran dengan baik.

"Dia bantuan yang besar buat pasukan.

"Ia perkara yang baik dan saya amat gembira dia dapat menyertai pasukan kebangsaan," katanya.