Walaupun belum menyarung jersi Harimau Malaya, tekanan sudah mula dirasai pemain naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh, dengan perhatian luar biasa diterimanya daripada peminat bola sepak negara.

Sumareh yang masih terngiang-ngiang dengan panggilan diterima daripada jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, semalam mengakui seperti masih bermimpi.

Keadaan itu ditambah dengan perhatian luar biasa diberi peminat serta pihak media yang begitu teruja kerana sekian lama mahu menyaksikan Sumareh beraksi buat skuad Harimau Malaya.

"Ia sangat tinggi. Saya berjalan-jalan dan orang ramai memanggil saya.

"Ia istimewa dan saya melihatnya sebagai satu cabaran. Saya akan buktikan kemampuan dan memberikan sesuatu buat skuad Malaysia," katanya.

Sumareh, pemain kelahiran Gambia yang telah menetap di Malaysia selama 12 tahun bersama keluarga, yakin ia bukan masalah besar untuk dia menyesuaikan diri dengan skuad negara kerana telah mengetahui kemampuan semua pemain.

Malah, dia melihat keserasian dengan rakan sepasukan di Pahang, Matthew Davies, di sebelah kanan mampu membantunya tampil cemerlang untuk beraksi di pentas antarabangsa.

"Persefahaman saya dengan pemain-pemain Malaysia yang lain tiada masalah. Saya tidak rasa ia menjadi satu perkara yang menyukarkan.

"Mungkin saya hanya memerlukan beberapa sesi latihan dan melihat kepada kelibat Davies di bahagian kanan, saya sudah beraksi agak lama dengannya.

"Diharapkan, segalanya mengikut perancangan."