Sumareh terkejut dengan sistem latihan di Police Tero

Oleh Muzaffar Musa 15 Oktober 2020 59789
Sumareh terkejut dengan sistem latihan di Police Tero
Penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, memerlukan sedikit masa untuk mencapai tahap kecergasan terbaik biarpun sudah memulakan latihan pertamanya bersama kelab Thailand, Police Tero FC, semalam.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Sumareh turut berkongsi mengenai sesuatu yang mengejutkannya dalam sesi latihan itu.

"Saya berjumpa Dominic (Tan, pertahanan negara). Dia datang untuk mengambil saya ke sesi latihan.

"Saya agak terkejut kerana dia mengambil saya terlalu awal dan sesi latihan hanya bermula jam lima petang.

"Walaupun kami hadir dua jam sebelum latihan bermula, kesemua pemain sudah berada di sana dan saya agak terkejut.

"Saya fikir hanya saya sahaja yang sudah tiba di sana tetapi agak terkejut apabila melihat hampir kesemua pemain sudah berada di sana.

"Ada yang sedang menjalani pemulihan dan ada pula yang sudah mula bersenam. Mereka semua hadir sangat awal dan ia sesuatu yang amat baik.

"Latihan bermula jam lima tetapi mereka sudah berada di sana jam tiga petang," katanya

Mengulas mengenai sasarannya bersama pasukan barunya itu, Sumareh menambah: "Ia bergantung kepada perkembangan saya, jika kecergasan saya kembali lebih awal, saya akan menyertai pasukan dalam perlawanan.

"Tetapi buat masa ini, saya tidak tahu perancangan jurulatih berkenaan saya.

"Apa yang saya tahu, dia kini sedang membantu mengembalikan kecergasan saya dan meletakkan saya dalam program bersama jurulatih kecergasan, jadi kita akan lihat apa yang akan berlaku.

"Saya sudah tidak bermain hampir enam bulan. Saya hanya berlatih bersama rakan di gimnasium dan berbasikal.

"Ia bukan seperti yang saya gambarkan, (latihan) semalam sememangnya sesuatu yang berbeza," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen