Pemain sayap Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh, tertekan dengan tumpuan meluas ke atas dirinya apabila bakal mencatat sejarah selaku pemain naturalisasi pertama skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Colombo, esok.

Sumareh akan menentukan adakah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memperluaskan strategi untuk membawa masuk pemain naturalisasi.

Situasi itu menambah tekanan buat pemain kelahiran Gambia itu kerana dia juga perlu merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Walaupun tertekan, pemain sayap berusia 27 tahun itu cuba bersikap positif.

"Orang ramai, termasuk media, asyik menyebut nama Sumareh, tidak sabar untuk melihat saya beraksi. Ia memberi tekanan tetapi saya menyahutnya sebagai satu cabaran dan ingin mencabar diri sendiri.

"Saya mahu melakukan yang terbaik untuk Malaysia," katanya.

Selain Sumareh, kepulangan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, meningkatkan saingan di jentera serangan skuad kebangsaan.

Kali terakhir Norshahrul menyarung jersi Harimau Malaya adalah 22 bulan lalu tatkala situasi ketika ini jelas membuka lebih banyak pilihan kepada pengendali negara, Tan Cheng Hoe, untuk membentuk skuad terbaik menjelang aksi Piala Suzuki AFF, bulan depan.

"Saya tidak nampak kelemahan kerana semua pemain mempamerkan komitmen terbaik. Sesi latihan berjalan dengan lancar dan rakan sepasukan menyambut kehadiran saya dengan baik," kata Sumareh lagi.