Sumareh mungkin beraksi dalam kesebelasan utama -- Cheng Hoe

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 471
Sumareh mungkin beraksi dalam kesebelasan utama -- Cheng Hoe
Pengendali skuad bola sepak senior kebangsaan, Tan Cheng Hoe, tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan Mohamadou Sumareh dalam kesebelasan utamanya bagi aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Kecederaan yang menimpa beberapa pemain negara, antaranya Matthew Davies dan Shahrel Fikri Md. Fauzi, menyaksikan Cheng Hoe perlu membuat rombakan terhadap kesebelasan utamanya.

Selain itu, persembahan baik Sumareh ketika berdepan Sri Lanka, Jumaat lalu, turut mencuri perhatiannya apabila dimasukkan sebagai pemain gantian.

Dengan itu, Cheng Hoe masih meneliti setiap pilihan yang ada menjelang pertemuan malam ini.

"Sumareh memberikan petanda baik buat pasukan. Dia masuk dalam separuh masa kedua dan menjaringkan dua gol.

"Di samping itu, dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan.," kata ketua jurulatih negara itu. 

Di sebalik kemenangan berturut-turut ke atas Kemboja dan Sri Lanka sebelum ini, masih wujud kebimbangan buat Cheng Hoe terhadap persembahan skuad kendaliannya.

Ini kerana dalam dua aksi berkenaan, Malaysia dibolosi terlebih dahulu sebelum bangkit memperoleh kemenangan.

Lantaran itu, Cheng Hoe menggesa semua pemain agar tidak hilang konsentrasi kerana Kyrgyzstan merupakan lawan yang mempunyai kemampuan yang lebih baik berbanding dua aksi sebelum ini.

"Apa yang penting adalah pemain-pemain mendapat pembelajaran dan memperbaiki kesilapan dalam setiap perlawanan.

"Saya harap pemain-pemain tidak mengulangi kesilapan kerana apabila berdepan pasukan yang lebih baik, agak sukar untuk kami kembali mengejar kedudukan.

"Saya harap pemain-pemain saya dapat menambah baik dalam aspek pertahanan," tambah Cheng Hoe.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen