Sumareh: Liga Thailand boleh jadi pendedahan awal pemain Malaysia 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Oktober 2020 940
Sumareh: Liga Thailand boleh jadi pendedahan awal pemain Malaysia 
Pemain naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh, mengakui menerima tawaran selain daripada Police Tero pada saat-saat akhir.

Pemain kelahiran Gambia itu meninggalkan Pahang secara kontroversi dua bulan lalu dan dalam masa sama, isu surat tawaran daripada seteru Liga Super, Selangor, menjadi tular. 

Tetapi perkembangan itu sama sekali tidak mengganggu perancangannya untuk berkelana ke liga Thailand dan dia sudah bersedia untuk diturunkan buat kali pertama dalam kunjungan ke Pracuap, esok, sebaik selesai menjalani kuarantin. 

"Tawaran itu terlalu lewat, saya sudah menetapkan fikiran untuk beraksi bersama Police Tero, saya gembira telah membuat keputusan yang tepat," katanya yang tampil dalam satu temu bual rasmi kelab itu semalam. 

Penggempur berusia 26 tahun itu, yang mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) melalui Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), cukup teruja dapat melebarkan sayapnya ke luar negara sambil menganggap ia sabagai langkah pertama dalam menerokai pasaran yang lebih besar. 

"Pemain Malaysia sudah mula mendapat pendedahan, Thailand merupakan langkah pertama yang baik dan liganya menarik.

"Noshahrul Idlan Talaha dan Shahrel Fikri Md Fauzi pernah beraksi di sini jadi ia boleh membuatkan kami berkembang," katanya lagi yang akan menyertai seorang lagi pemain kebangsaan, Dominic Tan, di kem pasukan itu.
 
Posted by Police Tero FC on Thursday, October 15, 2020

Menurutnya lagi: "Saya pernah berdepan Thailand dalam Piala AFF dan kelayakan Piala Dunia.

"Semua orang tahu mereka menampilkan corak permainan menarik di Asia ini, lagipun ramai pemain mereka beraksi di tahap tinggi seperti di Jepun. 

"Saya yakin dapat menimba pengalaman di sini jadi saya sangat teruja. 

"Saya tidak pernah beraksi di luar Malaysia, selama ini saya di zon selesa tetapi kini saya perlu memikul cabaran dan berdepan dunia yang baru, saya juga perlu buktikan kemampuan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen