SRI LANKA 1 MALAYSIA 4

Skuad bola sepak negara menewaskan Sri Lanka 4-1 dalam satu aksi persahabatan di Stadium Sugathadasa, Colombo, sebentar tadi.


Aksi kompetitif terakhir skuad senior negara adalah ketika menewaskan Kemboja 3-1, bulan lalu.

Berbekalkan semangat tersebut, Malaysia menamakan barisan terbaik dalam pertemuan ini dengan Shahrel Fikri Md Fauzi diletakkan selaku taruhan utama di jentera serangan di samping kapten pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Namun, permulaan sempurna yang diidamkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tidak kesampaian sebaik Sri Lanka terlebih dahulu berada di depan pada setengah jam pertama perlawanan.

Menerusi satu percubaan awal, Asela Madushan memanfatkan bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol negara, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam, untuk tuan rumah mendahului sepanjang babak pertama.

Penantian untuk menyaksikan aksi pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, berakhir sebaik dia dibawa masuk menggantikan Shahrel Fikri di permulaan babak kedua.

Jelas kemasukan pemain itu memberi nafas baru buat jentera serangan negara.

Bermain dengan corak menyerang, skuad negara menemui jaringan penyamaan menerusi penyudah Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-62.

Jaringan tersebut jelas memberi keyakinan buat skuad negara yang semakin selesa mengawal permainan. Dengan satu tandukan, Adam Nor Azlin kemudian meletakkan Malaysia di depan buat kali pertama pada minit ke-76.

Lima minit menjelang masa sebenar tamat, Sumareh memperoleh gol pertama di peringkat antarabangsa. Dia yang cuba menghantar bola kepada Zaquan jelas bernasib baik apabila usaha tersebut terus menerobos gawang lawan.

Sri Lanka seakan tiada daya mengawal kubu mereka dengan Sumareh sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada waktu kecederaan untuk menjadikan kedudukan 4-1.