"Saya akan curahkan segala-galanya demi Malaysia," itu janji pemain naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh, yang berharap tiada pihak akan mempertikaikan semangat patriotiknya selepas 12 tahun menetap di sini.

Sumareh menjelaskan hatinya lebih dekat dengan suasana di Malaysia berbanding negara asalnya, Gambia.

Berhijrah ke Malaysia ketika remaja lagi, segala bentuk budaya dan pemakanan serta corak kehidupan di Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing buat dirinya.

Maka, dia menganggap pemilihannya dalam skuad Harimau Malaya sebagai satu peluang buat dirinya membalas jasa buat negara dia dibesarkan.

"Saya telah membiasakan diri dengan gaya hidup di Malaysia dan saya melihat diri saya sebahagian daripada negara ini," katanya.

Sumareh yang bakal turun dalam dua perlawanan persahabatan bertemu Sri Lanka dan Republik Kyrgyzstan, sudah meletakkan sasaran mahu tampil dalam Piala Suzuki AFF.

Dia mahu terus menghadirkan impak membantu skuad Harimau Malaya dengan menamatkan penantian selama lapan tahun selepas kali terakhir menang pada 2010.

"Jurulatih skuad Malaysia, Tan Cheng Hoe, akan memilih pemain menerusi dua aksi persahabatan dan saya berharap dapat kekal untuk bersaing dalam Piala AFF. Kejohanan itu melibatkan beberapa pasukan yang berkualiti seperti Thailand dan Vietnam."