Selepas tiga tahun mencurah bakti bersama pasukan lain, Sumardi Hajalan kini kembali ke pangkuan Sabah apabila menandatangani kontrak selama setahun dengan pasukan itu, semalam.

Bekas pemain kebangsaan berusia 31 itu sebelum ini meninggalkan Sang Badak untuk beraksi bersama Negeri Sembilan, Perak dan Perlis.

"Saya teruja kembali ke sini (Sabah) dan saya juga gembira kerana sekali lagi diberi peluang untuk beraksi bersama Sabah...saya akan melakukan yang terbaik buat pasukan negeri saya ini.

"Walaupun dibarisi ramai pemain muda, saya percaya kami akan mengharungi musim yang lebih baik nanti kerana semua pemain kini bekerja keras untuk mencapai sasaran masing-masing dan juga pasukan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Sumardi yang bermain di posisi bek kiri adalah antara tiga pemain yang menandatangani kontrak, semalam, dengan dua lagi pemain dari skuad Piala Presiden, iaitu penjaga gol, Robson Rendy dan Saliun Mastar.

Dalam perkembangan lain, pemain tengah, Sabri Sahar, yang sebelum ini beraksi bersama Negeri Sembilan juga dijangka kembali menyarung jersi Sabah musim depan.

Difahamkan, persetujuan di antara Sabri dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) telah dicapai dan kini hanya menunggu kontrak disediakan.

Terdahulu, SAFA telah mengikat 15 pemain, iaitu Rozaimi Rohim, Mohd Sakri Masri, Dendy Lowa, Rawilson Batuil, Mohd Azzizan Nordin, Jenius Karib, Leopold Alfonso Otong, Ummareng Bachok, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Mohd Azwan Abd Fattah, Randy Baruh, Rahman Shah Marajeh, Alto Linus dan Radzi Mohd Hussin.

Selain itu, tiga pemain import juga telah menandatangani kontrak, iaitu Igor Cerina, Jonathan Behe dan Masaya Jitzono.