Niklas Sule berazam untuk membuktikan Uli Hoeness tersilap ketika pertahanan yang mengalami kecederaan itu sempat pulih menjelang Euro 2020.

Pertahanan tengah Bayern Munich itu mengalami kecederaan ligamen lutut kiri ketika aksi Bundesliga, Oktober lalu.

Kecederaan itu memaksa Sule diketepikan hingga tamat musim 2019-2020 dan bekas presiden Bayern, Hoeness, memberitahunya supaya melupakan hasrat mewakili Jerman ke Euro.

Tetapi pemain berusia 24 tahun itu menjelaskan proses pemulihannya berjalan lancar dan dijangka kembali awal sebelum waktu yang telah ditetapkan.

"Lutut saya semakin pulih. Saya kini mendahului proses pemulihan yang telah ditetapkan. Ia membuktikan bahawa pembedahan yang dilakukan berjalan lancar," kata Sule.

"Bagi saya, Kejohanan Eropah merupakan sasaran utama dan saya jangka mampu beraksi dalam saingan tersebut.

"Saya berlatih setiap hari. Saya mahu kembali bersama pasukan bermula Mac atau April tahun depan. Ia adalah satu perjalanan yang berliku tetapi saya yakin untuk melakukannya."

Ditanya mengenai kebarangkalian untuk mencapai sasarannya, Sule berkata, "Untuk bahagian saya, 100 peratus."

Sule telah membuat penampilan sulung pada 2016 dan telah meraih 26 kaps bersama Jerman.

Skuad kendalian Joachim Low itu bakal berdepan juara bertahan, Portugal, dan pemenang Piala Dunia, Perancis, dalam Kumpulan F.