Pelibas muda Kelantan, Baihakki A'ripin, menuntut rakan sepasukannya agar terus meningkatkan prestasi permainan jika berhajat mengekalkan sasaran satu pingat emas dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Mac tahun depan.

"Selepas menyertai Kejohanan Road To Sukma anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu, kami akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan dan hanya menjalani latihan secara individu di rumah masing-masing.

"Insya-Allah selepas PKPB berakhir, kami boleh kembali ke gelanggang dan meneruskan perancangan yang diatur oleh jurulatih, Suhairi Nordin.

"Penundaan tarikh Sukma juga beri lebih peluang kepada kami untuk teruskan memantapkan kombinasi pasukan demi mengekalkan sasaran satu pingat emas yang diidamkan persatuan," katanya.

Baihakki, yang pernah mewakili negara ke Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-Sekolah ASEAN di Singapura pada 2017, yakin kehadiran apit kanan Kelantan Warriors, Mohd Eqbal Samsuddin, mampu menambah kekuatan skuad Young Warriors ini.

"Selain itu, hampir separuh daripada pemain skuad kali ini memiliki pengalaman menyertai Sukma dua tahun lepas di Perak.

"Kami perlu kukuhkan komunikasi di gelanggang sambil berwaspada dengan kekuatan pasukan Terengganu, Pulau Pinang, Perak dan tuan rumah, Johor.

Untuk rekod, dalam edisi Sukma ke-19 di Perak dua tahun lalu, Kelantan memungut satu pingat emas menerusi acara double dan gangsa dalam berpasukan lelaki.