FEYENOORD 1 SHAKHTAR DONETSK 2

Impian Feyenoord dalam Liga Juara-Juara (UCL) belum berakhir, demikian menurut pengendalinya, Giovanni van Bronckhorst, namun jurulatih kelab Belanda itu mengakui kekalahan 2-1 kepada Shakhtar Donetsk menjadikan laluan mereka untuk melepasi Kumpulan F cukup berliku.

Steven Berghuis memberikan Feyenoord harapan untuk meraih mata sulung mereka dalam kempen ini apabila meledak gol seawal minit ketujuh di De Kuip dalam aksi pagi tadi.

Bagaimanapun, gol sumbangan pemain sayap dari Brazil, Bernard, dalam setiap babak memastikan pelawat dari Ukraine itu meraih kemenangan pertama di tempat lawan dalam enam percubaan sebelum ini.

Van Bronckhorst, yang memenangi UCL sebagai pemain bersama Barcelona pada 2006, menyaksikan anak buahnya memperkemaskan rentak susulan kekalahan awal kepada Napoli dan Manchester City, begitupun dia memberi alasan pasukannya masih mentah dalam saingan tertinggi itu.

"Kami beraksi hebat hari ini," kata bekas tonggak antarabangsa Belanda itu kepada Veronica TV.

"Kami selangkah ke depan dalam saingan ini tetapi ia tidak mendatangkan sebarang mata.

"Shakhtar mempunyai kualiti. Mereka sebuah pasukan pasukan mantap dan saya berasakan kami telah beraksi baik tetapi belum memadai.

"Shakhtar telah melepasi peringkat kumpulan sejak lapan tahun lalu dan saya fikir kami semakin hampir untuk mencapai tahap itu dengan beraksi dalam perlawanan seumpama ini."

Feyenoord tewas dalam kesemua 10 perlawanan terakhir UCL –- kemenangan terakhir yang dirakamkan skuad dari kancah Eredivisie itu adalah apabila menundukkan Newcastle United 1-0 di St James' Park pada 2002.

Prestasi mereka dalam semua pertandingan juga tidak begitu memberangsangkan apabila hanya mengutip dua kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.

Mereka kini terperosok di dasar Kumpulan F dengan baki tiga perlawanan, namun Bronckhorst berkata: "Pengembaraan Eropah ini belum berakhir.

"Ia menjadi begitu rumit. Kami perlu bermain dalam tiga perlawanan selepas ini dengan baik sebelum melihat hala tuju kami."