Bola sepak sekali lagi menghadirkan harapan tinggi dalam kalangan peminat tempatan, apatah lagi Sukan SEA kali ini berlangsung di laman sendiri, 19-30 Ogos depan.

Dapatkah barisan bawah 22 tahun (B-22) negara kali ini menamatkan penantian emas selama enam tahun yang kali terakhir dimenangi dalam edisi 2011 di Jakarta?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil tindakan drastik apabila menggantikan Frank Bernhardt dengan Datuk Ong Kim Swee untuk skuad B-22 ke Sukan SEA sejurus beliau menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-53, 25 Mac lalu.

Tunku Ismail kemudian tidak menyembunyikan hasratnya untuk menyaksikan barisan muda negara meraih emas dalam temasya dwi-tahunan itu di laman sendiri.

"Ini adalah kejohanan yang mana kita mengharapkan mereka melakukannya dengan baik kerana kita bakal menjadi tuan rumah. Jadi, saya mengharapkan pemain akan dilepaskan setiap pasukan masing-masing.

"Tak kan kita nak tersingkir awal, sudah tentu kita mahukan keputusan yang baik," katanya.

Dengan tempoh tidak sampai lima bulan, Kim Swee tidak akan melakukan perubahan besar dalam kalangan pemain.

Sebaliknya, jurulatih itu hanya melakukan perubahan dengan menggunakan formasi 3-4-3 atau 4-3-3 buat skuad B-22 negara.

Pendekatan ini tampak memberi hasil apabila barisan negara hanya tewas tipis 0-1 kepada skuad B-22 China sebelum seri 2-2 dengan pasukan simpanan Guangzhaou R&F dan berjaya menewaskan pasukan simpanan Guangzhou Evergrande 3-0 dalam siri perlawanan persahabatan di China, bulan lalu.

"Saya tidak akan mengubah banyak perkara. Mungkin serba-sedikit daripada aspek corak permainan kerana mereka telah disediakan dengan cukup baik oleh pengendali yang lepas," kata Kim Swee.

Jika dibandingkan dengan skuad Sukan SEA 2015, pasukan kali ini tampak lebih ampuh -- diperkuatkan dengan beberapa pemain berbakat seperti Mohd Syamer Kutty Abba, Adib Zainuddin, Adam Norazlin dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Rata-rata pemain muda negara kali ini juga tampak komited mahu meraih emas di laman sendiri walaupun mereka juga akan menghadapi kempen kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand pada 19-23 Julai ini.

"Ini impian saya. Sebagai seorang pemain, sudah tentu sasaran kami adalah untuk meraih emas. Saya akan memberikan 100 peratus untuk skuad kebangsaan, " kata Syamer.

Syafiq pula berkata: "Ia sangat penting kerana ini tahun terakhir saya bersama skuad B-22. Jadi, saya mahu merasai pingat emas, apatah lagi beraksi di laman sendiri."

"Kelayakan Kejohanan AFC penting kerana tahapnya lebih tinggi berbanding Sukan SEA. Jadi, penting untuk menjadikan kejohanan itu sebagai persediaan terbaik untuk meraih emas dalam Sukan SEA nanti, Insya-Allah," kata Adam.

Pencapaian skuad bola sepak negara dalam Sukan SEA (2009 - 2015):

• Sukan SEA Singapura 2015 - Peringkat kumpulan

• Sukan SEA Nay Pyi Taw 2013 - Tempat keempat

• Sukan SEA Jakarta & Palembang 2011- Emas

• Sukan SEA Vientiane 2009 - Emas