Tiada harapan tinggi diletakkan buat skuad kendalian Brad Maloney yang akan memikul cabaran dalam Sukan SEA Hanoi 2021 bermakna mereka hampir pasti bertanding atas tiket kategori B.

Perkara itu dijangka akan diputuskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas mesyuarat pemilihan kategori sukan bulan depan.

Sifir mudahnya, tiada sasaran perlu diletakkan ke atas skuad B-19 negara dalam temasya dwitahunan di Vietnam itu, hujung tahun ini, berikutan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberi ruang pendedahan kepada mereka susulan pembatalan kelayakan Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan.

Perkara itu ditegaskan Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, yang mengharapkan semua pihak agar tidak memberi tekanan kepada mereka untuk menggalas misi meraih ibu segala pingat dalam temasya berkenaan.

"Yang pertama kami mahu memuktamadkan proses pemilihan terlebih dahulu.

"Kami sepatutnya akan mengadakan mesyuarat ini dalam tempoh seminggu dua ini tetapi ketika ini kita ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), maka kami menunda mesyuarat ini ke awal bulan depan.

"Kami juga akan berbincang dengan MSN mengenai bola sepak," katanya ketika dihubungi.


Hari Ketiga Kem Latihan Pusat Skuad B-19 Kebangsaan | 8 Julai 2020 Skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney...

Posted by Football Association of Malaysia on Wednesday, July 8, 2020


Pihak MOM akan memperincikan keperluan untuk skuad bola sepak negara sama ada akan diletakkan dalam kategori A atau pun B.

"Tidak perlu kita letakkan jangkaan kepada mereka. Tidak usah letakkan tekanan.

"Dalam masa sama, saya percaya mereka akan merebutnya jika diberi peluang tersebut.

"Saya yakin jika mereka melakukan persiapan dari sekarang, mereka mampu mencipta kejutan," katanya lagi.