Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, mencanang sistem baharu buat pasukannya dan bakal mempertaruhkannya dalam aksi penutup musim 2016 menentang skuad muda Filipina di Manila, Khamis ini.

Selepas mencuba beberapa sistem, pendekatan berbeza kini dipraktikkan Bernhardt dalam sesi latihan Skuad Projek 2017 untuk digunakan bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan.

Dengan objektif untuk menguasai sepenuhnya permainan, Bernhardt menegaskan kecergasan pemain perlu berada di tahap tertinggi untuk taktikal 3-4-2-1 itu dilaksanakan dengan berkesan.

"Kami memulakan dengan taktikal, di mana kami mencari sistem yang akan digunakan di sana (Manila). Selepas itu, tahap seterusnya kami akan adakan bahagian kedua, iaitu penekanan kecergasaan.

"Jadi, kini tidak ada banyak masa tetapi kami akan gunakan sebaiknya tempoh yang kami ada," katanya.

Sementara itu, pertahanan negara, Arif Fadzilah Abu Bakar, mengakui perlu memainkan peranan penting untuk tugas barunya itu.

Beraksi di posisi pertahanan kiri, pemain T-Team itu perlu kerap melakukan larian untuk bertahan sambil menyerang.

"Kami kini dalam persiapan untuk latihan bertahan. Pemain di bahagian kiri dan kanan perlu selalu melakukan 'overlap'. Masa menyerang, kami perlu berada di atas. Masa bertahan, kami perlu berada di bawah.

"Memang sukar. Nak buat macam mana dia (jurulatih ) nak macam itu, kami kena buat sama ada penat atau tak penat," kata Arif.