Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Norhuda Ahmad, menyasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa untuk diraih skuad negara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur tahun depan.

Norhuda memiliki alasan mengapa sasaran mereka bukan di kedudukan maksimum walaupun persediaan awal sudah pun dilakukan.

Dengan penganjuran yang berlangsung di Kuala Lumpur, sesetengah pihak berpendapat inilah masa yang paling sesuai untuk muncul lebih berkesan bagi membantu negara menghadirkan kutipan pingat emas.

Norhuda berkata sasaran minimum bertujuan mengelak tekanan buat pemain yang bakal berhadapan pasukan yang diperakui kekuatan mereka seperti Myanmar, Thailand dan Vietnam.

"Sebagai tuan rumah, kita mestilah mendapat sekurang-kurangnya gangsa. Jadi, bermula Januari ini, kami akan mengadakan liga. Ini adalah salah satu platform untuk mencungkil bakat bola sepak dalam kalangan wanita."

Norhuda berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan jersi untuk setiap pasukan yang menyertai Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Perempuan B-16 bermula pertengahan bulan ini.

Penganjuran kali ini melibatkan tiga sirkit, iaitu di Pulau Pinang, Pahang dan Johor.

"Sirkit seperti ini bertujuan untuk memberi masa yang panjang kepada pemain-pemain untuk bermain bola sepak." jelas Norhuda.

Liga Bola Sepak KPM Perempuan B-16:

Sirkit I (18 – 20 November 2016): Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang

Sirkit II (17 – 19 Februari 2017): Sekolah Sukan Malaysia Pahang

Sirkit III (17 – 19 Mac 2017): Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor