Tahun ini arena bola sepak negara disajikan dengan pelbagai cerita menarik, suka dan duka.

Bermula dengan perubahan tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad muda negara berjaya menyerlahkan kejaguhan di pentas antarabangsa tatkala mimpi ngeri melanda skuad senior, Harimau Malaya.

Tanggal 25 Mac 2017 pastinya dikenang dalam lipatan sejarah bola sepak negara. Ia menyaksikan FAM diberi lonjakan baru menerusi perubahan radikal terhadap barisan kepimpinannya.

Paling mencuri tumpuan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diangkat sebagai presiden bagi penggal 2017-2021 selepas diumum menang tanpa bertanding dalam Kongres FAM Ke-53.

"Kamu perlu mengikut momentum saya sekarang ini. Sesiapa yang berada di sini harus sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja dengan tanggungjawab yang diberikan," kata Tunku Ismail sejurus selepas memegang jawatan itu.

Dengan slogan era baru bola sepak Malaysia, FAM tampak tampil lebih berwibawa dalam usaha mengubah landskap bola sepak Malaysia.

Ia bermula dengan pelantikan Nelo Vingada selaku jurulatih Harimau Malaya pada 15 Mei 2017, kurang dua bulan selepas Tunku Ismail menduduki kerusi panas presiden.

Namun, jodoh jurulatih dari Portugal yang digelar The Professor itu bersama Harimau Malaya sekadar bertahan enam bulan selepas beliau meletak jawatan pada 6 Disember lalu.

Hanya satu keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 menjadi mata tunggal Vingada sepanjang tujuh perlawanan bersama skuad kebangsaan.

Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan di Buriram, Thailand awal November lalu menjadi keputusan paling buruk dicatatkan Vingada, sekali gus menyaksikan anak buahnya gagal layak ke pusingan akhir.

Bagaimanapun, kekecewaan peminat terhadap bola sepak negara sedikit terubat menerusi pencapaian memberangsangkan pasukan 'adik', skuad bawah 23 tahun dan skuad bawah 19 tahun negara.

Tatkala skuad Datuk Ong Kim Swee cemerlang mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan dan meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur, anak buah Bojan Hodak pula
berjaya menempah slot ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia 2018.

"Semua pemain memberikan segala-galanya dan ia sangat penting, dengan masa yang terhad kami miliki.

"Mereka telah buktikan. Kami percaya kami berada di landasan yang betul," ujar Kim Swee.

Sementara itu, Hodak menambah: "Ia adalah kejayaan yang besar. Tiada siapa jangka. Ia adalah pengalaman baru."

Dengan prestasi skuad senior negara masih tidak menentu, pencapaian pasukan 'adik' itu sekurang-kurangnya memberi sinar harapan baru buat bola sepak negara untuk kembali dihormati di persada
antarabangsa.

Justeru, menjadi harapan peminat agar tahun depan menjadi medan kebangkitan buat skuad senior, terutama untuk kembali berdaya saing di peringkat tertinggi di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.