Neymar sedang menikmati kerjayanya di Barcelona dan berasakan tiada kelab lain di dunia yang mampu menandingi suasana di dalam bilik persalinan di Nou Camp.

Pemain antarabangsa Brazil itu gembira untuk kekal apabila hampir pasti untuk memperbaharui kontraknya bersama Barca sehingga Julai 2021 bagi mengakhiri spekulasi terhadap masa depannya.

"Saya belum ada sebarang tarikh lagi, namun saya akan menandatangani kontrak baru tidak lama lagi," kata Neymar yang menyertai Barca dari Santos pada 2013.

"Saya gembira di Barcelona dan kota ini. Semuanya seperti yang saya. Saya gembira menikmati segala-galanya.

"Apa yang paling saya gemari adalah suasananya. Kami semua rapat. Suasananya tenang, kami bekerja secara berkumpulan dan sebab itulah mengapa kami banyak mencapai kemenangan.

"Sukar untuk mendapatkan perkara seumpamanya di tempat lain. Tiada kelab selain Barcelona.

"Hubungan kami adalah tunjang kejayaan dalam membentuk jentera serangan. Kami sedar bahawa kami telah melakar sejarah dan dengan secara bersama-sama, kami lebih ampuh. Hubungan kami baik di dalam dan luar padang, itu benar-benar membantu pasukan."

Neymar mencetak gol dalam kekalahan 4-3 kepada Celta Virgo sebelum jadual aksi antarabangsa dan mereka akan kembali beraksi di tempat sendiri apabila melayani kunjungan Deportivo La Coruna, hujung minggu ini.